Friday, February 22, 2019

.kantung kehamilan tidak sekata.

assalamualaikum,

pada 26 julai perlu pergi semula ke hospital selepas pendarahan yang berlaku. perlu lalui imbasan transvaginal semula dan ambil ujian darah. waktu ni, ejal masih di singapura. jadi, mak abah temani ke hospital. kume pesan kat mak supaya tak perlu ikut sekali sebab lutut mak sakit tetapi mak bertegas nak turut serta ke hospital, turun kereta, berjalan ke klinik, tunggu lama di ruang disediakan, tunggu lama lagi di farmasi. haih degil bebenor...

kume terus letak fail peribadi klinik ke dalam bakul giliran imbasan. kantung kehamilan yang normal ialah bulat atau sekata. kume punya kelihatan tidak sekata tetapi pendarahan sudah berhenti. pembantu perubatan memberi analisa yang sesetengah ibu hamil hadapi situasi ini juga dan tiada masalah.

tak pasti bagaimana nak huraikan perasaan masa ni.
gembira sebab dapat lihat EDD bayi kembar kami pada mac 2019.
tak sabar nak kongsi gambar imbasan dengan ejal.
ada juga perasaan risau yang singgah.

seperti kebiasaan,
selepas imbasan, kume akan hantar laporan berikut ke doktor melalui sms.
kemudian tunggu pula giliran untuk berjumpa dengannya
di bilik rundingan berdekatan.
kume melangkah keluar dari bilik imbasan dan mata terkunci pada mak.
terus lambaikan isyarat semuanya baik.
nak duduk menunggu giliran tetapi mak melangkah perlahan
ke arah kume dari luar klinik.
tak tahu kenapa terasa sebak.
mak bertanya keputusan
dan kume ulang analisa pembantu perubatan.
mulut pantas bercerita sambil jari ligat mencari informasi.
maklumat pasal irregular gestational sac.

setelah melihat laporan imbasan,
doktor juga memberikan analisa yang sama.
namun, kume diminta untuk ambil ujian darah
bagi melihat tahap hCG dengan lebih baik.
kume berlalu keluar dan berjalan ke arah ruang pengambilan sampel darah,
cuma berhadapan dengan klinik O&G.

selesai menyerah borang berkenaan dan mengambil angka giliran,
kume mencari kerusi kosong dan duduk.
mak datang menghampiri dan duduk disebelah kiri kume,
bertanyakan analisa doktor.

hati penuh dengan pelbagai perasan pada satu masa
dan kuat ke arah sesuatu yang negatif.
rasa bersalah pada ejal,
pada mak abah, ibu ayah,
pada embrio-embiro dalam rahim,
pada rakan-rakan sekerja kerana lama cuti sakit.
rasa lemah sebab fikir kume gagal lagi.
hormon tidak seimbang mungkin?

sambil mak di sisi, gugur lagi air mata kume.
tanpa segan silu dengan pengunjung hospital lain.
makcik di sebelah kanan sibuk bertanya kenapa.
tiada kekuatan nak jelaskan.

jururawat yang membantu dalam bilik rundingan tadi
keluar dan mendekati kami.
menenangkan dan memberi semangat untuk tunggu keputusan ujian darah. 
disebabkan sudah lewat tengahari,
keputusan ujian darah hanya akan dapat diperolehi keesokkan harinya.
dia berjanji akan mesej kume keputusan ujian secepat mungkin.
lalu, pulang la kami ke rumah.

.tahap hCG selari dengan usia kehamilan.

petang tu kume terima panggilan dari akak jururawat.
ceria maklumkan kami bahawa tahap hCG
adalah normal pada minggu ke-6 kehamilan.
alhamdulillah.
tenang semula hati-hati kami semua.
kembali kepada rutin pengambilan ubat
dan menunggu temujanji seterusnya
pada 30 julai untuk mengambil ujian darah lagi.


entri seterusnya: reda dan tawakal
.
.
.
thank you for reading!

No comments: