Monday, May 6, 2019

.kucing yang paling berani (part 2).

assalamualaikum,

sambungan cerita si sylvester!


Aku melangkah perlahan untuk turun semula ke bawah dan terus mencari makanan. Cicak pun tidak kelihatan di ruang atas. Tiada peluang untuk aku bermain dan mengisi masa sehingga Pak Lang atau Mak Lang pulang lewat petang nanti. Perut aku sudah berbunyi-bunyi kerana lapar. Aku terbayangkan makanan yang selalu dihidangkan Pak Lang dan makanan yang aku selalu jumpa apabila berjalan ke hujung kawasan rumah Pak Lang. Di hujung jalan sana, sebelah belakang deret rumah-rumah yang selalu kami lewati, ada sebuah tempat yang selalu ada makanan. Memikirkannya sahaja boleh membuatkan aku merembeskan air liurku.

Kadang-kadang aku ada jumpa Pak Lang dan Mak Lang makan di situ juga. Setiap kali aku ke sana, mesti ada manusia memberi aku makan. Walaupun mereka tidak sediakan mangkuk dan memberi layanan seperti Pak Lang tetapi makanan yang diberikan sedap juga. Aku pernah mengajak Jengket, Cikedut dan Sibot ke situ. Aku ceritakan kesedapan makanan, suasana yang selesa dan ruang yang luas tetapi mereka tetap tidak pernah hendak mengikut aku mencari makanan di kawasan itu. Mereka lebih suka berulang-alik dari rumah yang ditumpangi untuk tidur dan ke rumah Pak Lang untuk makan sahaja.


Pasti aku tidak berkongsi cerita mengenai adanya manusia yang memarahi dan menyepak aku. Namun, itu jarang berlaku. Pada pendapat aku, lebih banyak yang positif daripada yang negatif. Jadi, aku tidak perlu elak untuk berjalan lebih jauh dan meneroka kawasan yang lebih baik. Kadang-kadang, Pak Lang dan Mak Lang tiada di rumah agak lama. Kalau kami perlu menunggu di situ, pasti kami akan kelaparan. Aku tidak pasti rakan-rakan yang lain mencari makan di mana semasa Pak Lang tiada.

Pernah sekali aku berjalan jauh dan mencari makanan di tempat itu. Ada manusia membaling makanan ke arah aku. Aku pantas ke arah makanan tersebut dan menghidunya. Apabila aku cuba menggigit makanan itu, aku kembali meluahkannya keluar semula. Liat sungguh makanan yang aku gigit tetapi bukan sebab itu sahaja. Aduh, sakit sungguh gigi aku waktu itu! Aku terus berfikir bagaimana hendak makan. Kalau makanan ini pun aku tidak boleh makan, bagaimana hendak makan makanan yang Pak Lang sediakan nanti?

Makanan yang selalu Pak Lang sediakan berbentuk kecil dan rangup. Lebih keras daripada makanan yang selalu aku dapat di tempat tadi. Kelaparanlah aku kalau sakit ini lama. Hendak kawal air liur meleleh pun tidak boleh. Asyik kena lap sahaja. Habis kotor bulu kaki aku dan kehitam-hitaman jadinya bulu-bulu putih ini. Oh ya! Aku lupa hendak berkongsi cerita. Seperti watak kartun Sylvester, bulu aku berwarna hitam dan bertompok putih di muka, kaki dan perut. Kaki-kakiku semua berbulu putih. Pak Lang pernah tegur, katanya aku seperti memakai stoking putih.

Berbalik kepada peristiwa aku sakit gigi. Apabila sudah beberapa hari, Pak Lang menjadi risau bila aku tidak makan seperti biasa dan aku kelihatan semakin comot. Dia lalu mengajak Mak Lang untuk membawa aku ke klinik haiwan. Mereka berpendapat hendak membawa aku ke sana menaiki kereta besar berwarna hitam itu. Pak Lang merangkul badan aku dan meletakkan aku di kerusi belakang. Pak Lang tiada sangkar untuk aku duduk diam. Di sebalik pintu kereta yang belum ditutup rapat, aku dapat mendengar ngiauan rakan-rakanku yang lain. Bising sungguh si Jengket, Cikedut dan Sibot kerana mereka risau melihat aku dimasukkan ke dalam kereta. Mereka takut aku tidak akan pulang semula. Sibuk si Sibot menggesel kaki Mak Lang dan Pak Lang, seakan-akan menghalang mereka dari membawa aku pergi. Aku faham kerisauan mereka kerana kami memang tidak permah menaiki kereta ke mana-mana. Bagaimana kalau aku benar-benar tidak pulang? Namun, aku yang sedang kepenatan dan dalam kesakitan, tidak dapat melawan dan berdolak-dalih lagi. Aku perlu terima ketentuan ini. Aku sedang sakit dan Pak Lang kata hendak membawa aku ke klinik. Bukankah klinik ini tempat yang baik?

Aku cuba duduk di atas kerusi hitam di dalam kereta ini, melayan sakit gigi aku. Pak Lang berjalan ke kerusi pemandu dan Mak Lang duduk di sebelahnya. Walaubagaimana pun, tidak sampai beberapa minit, aku sudah tidak boleh duduk diam. Aku mula mengiau dan cuba hendak ke hadapan. Aku rasa kawasan di hadapan lebih selesa daripada kerusi di belakang ini. Semasa aku cuba ke sana, Mak Lang menghalang aku dengan menolak aku dengan sikunya.

Dia berkata, “Sylvester, takyah la ke depan. Duduk je kat belakang.”

Aku mengiau lagi. Aku tahu Mak Lang tidak boleh pegang aku kerana alerginya tetapi aku hendak sangat dia usap kepala aku. Mungkin boleh kurangkan sakit aku ini. Selain dari itu, dapat jugak aku memanjat dan melihat-lihat keadaan di luar kereta dalam perjalanan kami. Pasti menarik, kan? Melihat suasana di luar sambil berdiri di dalam kenderaan yang sedang bergerak laju.

Tidak lama selepas aku mengiau-ngiau berdegil hendak ke ruang depan, Pak Lang memberhentikan kereta dan keluar. Aku lihat Mak Lang mengesot dan mengambil tempat pemandu dan tiba-tiba pintu sisi kereta dibuka. Rupa-rupanya, Pak Lang akan duduk bersama aku sehingga ke klinik. Dia merangkul aku, meletakkan aku di atas ribanya dan mengusap kepala dan belakang badanku. Barulah aku rasa lebih selesa sambil Mak Lang meneruskan pemanduan ke destinasi kami.

Setibanya di destinasi, Mak Lang keluar daripada kereta menuju ke klinik. Aku mengiau lagi hendak keluar namun tidak diendahkan oleh Pak Lang. Walaupun aku sakit, aku masih rasa teruja hendak melihat keadaan di luar. Agaknya di mana klinik ini? Jauhkah aku dari rumah Pak Lang dan Mak Lang? Adalah mereka akan tinggalkan aku di sini? Aku melompat ke atas peha Pak Lang dan berdiri di atas dua kakiku sambil berpaut ke tepi pintu. Aku memanjangkan leherku ke tingkap dan nampak Mak Lang berhenti di depan pintu sebelum masuk seperti sedang membaca sesuatu di cermin depan klinik. Seketika kemudian, aku nampak Mak Lang masuk terus ke dalam.

Aku bersembang-sembang lagi dengan Pak Lang yang sibuk mengusap, menenangkan aku. Tiba-tiba Mak Lang membuka pintu dan memaklumkan yang petugas klinik sudah membenarkan aku masuk ke dalam. Aku cuba mendengar apa yang Mak Lang terangkan kepada Pak Lang. Rupa-rupanya, klinik itu ada peraturan. Semua haiwan perlu berada di dalam sangkar sekiranya hendak mendapatkan rawatan tetapi aku dikecualikan dengan syarat, Pak Lang tidak melepaskan aku merayau-rayau di dalam klinik. Ini adalah untuk elakkan penyakit merebak ke haiwan lain yang ada mendapatkan rawatan di situ.

Apabila kami sudah masuk, seorang perempuan yang aku rasa petugas klinik di situ meminta Mak Lang untuk mengisi borang di atas kaunter. Aku duduk di atas riba Pak Lang dan melihat-lihat sekeliling. Banyak barang yang ada di atas almari di sebelah kiri aku. Di dinding sebelah kanan ada banyak gambar-gambar kucing tetapi semuanya mengerikan. Aku lihat kucing-kucing itu ada pelbagai jenis penyakit. Kasihan mereka. Mujur aku cuma sakit gigi sahaja.

Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya aku dibawa masuk ke dalam bilik doktor. Doktor hari itu pun perempuan juga. Aku tengok dia kecil sahaja orangnya berbanding Mak Lang yang berdiri di sebelahnya. Aku cuba bertenang dan menunggu apa tindakan doktor. Sambil mereka bertiga sedang bercakap-cakap, aku berjalan mengelilingi meja besi tempat aku diletakkan tadi. Meja itu sejuk lalu aku cuba untuk terjun ke bawah mencari tempat yang lebih selesa. Aku rasa hendak tidur. Sudahlah aku sedang sakit dan sekarang aku rasa letih pula. Aku sudah berjaya terjun tetapi doktor itu mengangkat aku semula ke atas meja dan aku lihat di tangannya ada putik kapas. Dia memegang leherku, merapatkan aku pada badannya, mengangkat ekorku dan memasukkan sedikit putih kapas itu ke dalam duburku! Adoi, sakitnya! Aku mendengus marah kerana doktor itu menyakiti aku. Aku memusing dan cuba untuk menggigit tangan doktor itu tetapi dia sempat mengelak.

Nasib baik Pak Lang segera mengusap kepala dan belakang badanku lalu aku kembali tenang. Perlahan-lahan Pak Lang menjelaskan, katanya doktor hendak ambil sampel dari badanku untuk ujian virus bagi menentukan sebab apa aku sakit beberapa hari ini. Ada virus sedang merebak di kawasan klinik ini dan di kawasan rumah Pak Lang. Jadi, doktor perlu memastikan yang aku tidak dijangkiti virus berbahaya itu. Parvovirus ini kata doktor mudah merebak dengan cepat apabila telah menjangkiti seekor kucing. Okay, baiklah. Aku maafkan doktor itu tetapi adalah lebih baik jika dia meminta kebenaran dahulu sebelum menguji aku.

Setelah sampel bendalir tadi diperiksa, aku sebenarnya tidak dijangkiti virus tersebut. Cuma ada jangkitan biasa di gusi aku yang menyebabkan bengkak , menyukarkan aku makan dan mengawal kelenjar air liur. Doktor memberikan aku tiga jenis ubat berbentuk cecair dan satu botol kecil ubat titis yang perlu aku habiskan dalam masa seminggu. Banyak kan? Aku turut diberikan satu tin makanan yang lembut untuk dikunyah. Jika masih tidak pulih setelah ubat-ubat tersebut habis diambil, gigi aku perlu dicabut.  Aku dipegang doktor lagi dan diberi suntikan. Sakit rasanya ditusuk benda halus itu tetapi aku tahan sahaja kerana ianya untuk kebaikan aku juga. Setelah doktor menunjukkan cara-cara memberikan aku ubat kepada Pak Lang dan Mak Lang telah menyerahkan tiga helai kertas petak berwarna hijau kebiruan kepada petugas klinik, kami pun pulang semula ke rumah.

Aku diberikan ubat yang telah dibekalkan sebanyak dua kali sehari selama tujuh hari. Mula-mula, Pak Lang cuba memberikan aku ubat-ubat tersebut tetapi aku pandai mengelak. Semua ubat itu rasanya pelik! Akhirnya, Mak Lang yang memberikan aku ubat setiap pagi dan setiap lewat petang. Dia akan memegang telinga kiriku, menarik kepala aku ke belakang sedikit dan memasukkan ubat di sebelah kanan mulut aku menggunakan alat kecil yang boleh menyedut ubat cecair. Setiap hari semasa Mak Lang hendak memberikan aku ubat, pasti Jengket, Cikedut dan Sibot lari ke tempat lain. Padahal, masa itu adalah masa kebiasaan untuk mereka makan. Mereka sangat risau Mak Lang akan berikan mereka ubat-ubat yang tidak sedap itu.

Dalam tempoh seminggu, aku sudah sembuh! Aku bersyukur yang aku tidak perlu pergi semula ke klinik dan membiarkan doktor mencabut gigi aku. Pasti lebih susah untuk aku makan nanti jika gigi aku kurang satu. Kelenjar air liurku kembali pulih seperti sediakala dan bulu-bulu kakiku pun kembali putih bersih. Aku dapat memakan semula makanan yang disediakan oleh Pak Lang dan makanan yang aku cari di hujung kawasan rumah mereka. Pak Lang dan Mak Lang pun kelihatan gembira melihat keadaan aku. Aku menggesel kepala dan badanku di kaki mereka berkali-kali sebagai tanda terima kasih kerana membantu aku melawan kesakitan tempoh hari.

Sedang aku mengelamun mengenai makanan dan peristiwa lalu, aku sudah pun sampai ke ruang bawah. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan, berfikir hendak ke mana lagi untuk mencari jalan keluar. Aku berjalan dan melompat naik ke atas kerusi panjang yang lembut berwarna perang muda. Dari sudut yang tinggi ini, aku boleh melihat keluar melalui tingkap yang sangat besar. Walaupun ada langsir jarang yang menghalang pengelihatan aku, aku masih boleh melihat Sibot sedang tidur di bawah buaian dan Cikedut sedang tidur di tengah-tengah ruang garaj. Bagusnya kalau aku pun boleh tidur dengan nyenyak seperti mereka.



Aku melompat semula ke bawah dan cuba mencari permukaan yang lembut untuk tidur. Lebih baik aku tidur sambil menunggu Pak Lang atau Mak Lang pulang. Aku perlu menyimpan tenaga untuk mencari makanan malam nanti. Aku berjalan dan berpusing-pusing di atas permaidani. Rasanya sudut ini paling sesuai untuk aku baring sekejap dan pejamkan mata. Sedang aku mencari posisi yang paling baik, mata aku menangkap suatu pergerakan. Aku pantas menoleh ke arah kanan. Aku tidak pasti apa yang sedang aku lihat. Ianya seperti bayang-bayang aku di hari yang panas semasa di luar tetapi lebih gelap dan besar. Bayang gelap itu berlegar-legar di ruang belakang rumah Pak Lang. Pelik kenapa aku tidak nampak ia sebelum ini semasa aku cuba untuk keluar melalui jeriji besi.

Perasaan ingin tahu membuatkan aku bangun dan melangkah perlahan ke arahnya. Bayang gelap itu seperti tidak menghiraukan aku yang sedang hairan melihatnya. Ia masih bergerak, berhenti seketika dan bergerak semula ke tempat lain. Ruang belakang ini mula terasa sejuk daripada biasa. Aku cuba mencapai bayang gelap itu dengan kaki kiriku tetapi aku hanya menyentuh angin. Tiba-tiba, ia hilang dari pandangan aku secepat ia muncul di mata aku seketika tadi. Aku melihat-lihat lagi keadaan sekeliling. Namun, bayangan gelap tadi sudah tidak lagi kelihatan. Angin sejuk tadi pun tidak lagi aku rasa.

Seketika kemudian, aku mendengar bunyi yang kuat di luar rumah. Aku berlari ke hadapan dan menjenguk melalui tingkap besar di sebalik kerusi panjang itu. Betul tekaan aku! Pak Lang pulang lebih awal daripada biasa. Aku mengiau dengan kuat dan berjalan ulang-alik di sepanjang tingkap tersebut. Aku cuba menarik perhatian Pak Lang untuk segera membuka pintu agar aku boleh keluar dan mencari makanan. Aku nampak Pak Lang keluar dari kereta hitamnya dan melihat aku dengan penuh hairan. Aku segera berlari ke arah pintu pula dan mencakar-cakarnya. Beberapa ketika kemudian, pintu dibuka dan bunyi bising yang kuat dan berulang-ulang itu bermula sekali lagi.

Aku nampak Pak Lang masuk dan aku segera menggesel badanku di kakinya. Dia kelihatan sangat terkejut tetapi sempat mengusap kepalaku sambil aku terus berjalan keluar. Dia langsung tidak memarahi aku kerana memasuki rumahnya tanpa izin. Bunyi bising tadi telah berhenti setelah Pak Lang menekan-nekan sesuatu di dinding sebalik pintu. Aku berjalan ke sudut tempat makanan kami disediakan dan melihat ke dalam mangkuk-mangkuk yang ada tetapi sudah tidak ada makanan di dalam semua mangkuk. Nampaknya aku perlu berjalan lagi ke hujung deret rumah ini untuk mencari makanan. Aku lantas berjalan ke sana tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan lagi dan membiarkan Sibot dan Cikedut bersembang-sembang dengan Pak Lang yang masih memandang aku dengan aneh.

Keesokkan harinya aku dapat melihat Pak Lang dan Mak Lang sibuk mengemas rumah mereka. Pelbagai jenis dan saiz kain yang mereka jemur di ampaian. Wangian dari jemuran tersebut memenuhi ruang garaj dan menjadikan suasana lebih ceria. Aku juga nampak Pak Lang mengangkat permaidani lembut tempat aku hendak tidur tempoh hari masuk ke dalam keretanya. Sudah beberapa hari tetapi aku masih tidak nampak permaidani itu masuk semula ke dalam rumah. Agaknya Mak Lang hendak membeli permaidani baru.

Aku meneruskan rutin harianku seperti biasa. Mak Lang ada menegur dan memarahi aku kerana kejadian mengotorkan lantainya dengan tapak kakiku yang berdebu hitam. Dia juga berkali-kali berpesan untuk tidak lagi memasuki rumah mereka. Aku juga ada terdengar perbualannya dengan Pak Lang. Mak Lang berpesan kepada Pak Lang untuk lebih tegas dan peka dengan pergerakan serta keberadaan kami agar kejadian minggu lepas tidak lagi berlaku. Aku berkongsi pengalaman dengan Sibot, Cikedut dan Jengket mengenai pengembaraan aku di dalam rumah Pak Lang. Mereka mendengar dan memandang aku dengan penuh minat. Lain kali jika ada peluang, aku hendak mengajak mereka meneroka bersama-sama aku.

Pada suatu hari, sedang Pak Lang duduk di buaian merah jambunya, dia mengusap kepalaku dan berkata, “Sylvester ni, kucing yang paling berani,”. Aku menggesel kepala lebih rapat ke tangannya dan mengiau bangga, mengiakan ayat penyata itu.


Perlukah aku memberitahu Pak Lang dan Mak Lang mengenai kejadian pelik melibatkan bayangan gelap yang berlegar di ruang belakang rumah mereka?
.
.
.
thank you for reading!

No comments: