Tuesday, April 30, 2019

.kucing yang paling berani (part 1).

assalamualaikum!


last month, i joined a writing contest organized by Blink Book Sdn. Bhd. and the contest was announced via en.syaizul amal's facebook page. the tittle given was "kucing yang paling....". target readers are teens. i chose to write a story loosely based on the stray cat at our house.

this morning, i checked my email and found out that i was not the lucky 5 winners. so, i just wanna share what i wrote. lots to learn on writing short stories. the story is 12 pages long, therefore i'll post it in two parts.

enjoy! or not. it's up to you, really.



KUCING YANG PALING BERANI

         Aku terperangkap! Pintu tadi sudah tertutup. Puas aku mengiau tetapi tiada balasan suara daripada Pak Lang. Aku mencari kelibat gebunya sekitar kawasan ini namun masih tidak kelihatan. Aku cuba untuk tidak panik. Aku berjalan ke arah ruang belakang sebab aku nampak cahaya matahari bersinar masuk melalui tingkap. Aku melompat ke atas sinki dan menepis bekas-bekas makanan atas para-para. Mengganggu sahaja aku hendak menyelamatkan diri. Berderai, berdenting bekas-bekas plastik dan besi jatuh ke jubin lantai kelabu itu. Aku biarkan bersepah sebab nanti Mak Lang yang garang itu akan kemas semula dan aku pasti sudah jauh dari tempat ini waktu dia balik nanti. Apa yang penting, aku dapat keluar. Aku tengok ada tirai keras melintang yang menutupi tingkap lalu aku selak untuk masuk. Di sebalik tirai itu, aku mengelit pula celah-celah jeriji besi dan terus aku ketuk, tolak serta cakar tingkap itu sekuat hatiku.

         Tiba-tiba kedengaran bunyi yang sangat kuat. Alamak! Bisingnya. Bunyi apa pula ini? Pak Lang sudah balik ke? Aku terjun semula ke bawah dan berlari ke ruang hadapan yang semak dengan basikal-basikal berhabuk dan kotak-kotak. Aku mengiau lagi sambil mencakar-cakar dan menolak pintu kayu. Pak Lang masih tidak membuka pintu. Aku mengiau lebih kuat untuk cuba melawan bunyi bingit yang berulang-ulang itu. Namun, pintu masih tertutup seperti sebelumnya.

Aku mula bosan dan aku mula merasa lapar. Awal pagi tadi sama seperti hari lainnya, kami akan berkumpul di depan pintu kayu dan menunggu Pak Lang keluar tetapi pagi ini aku lewat sedikit. Siapa kami? Kami ialah Sibot, Cikedut, Jengket dan aku. Kami adalah kucing liar di kawasan perumahan ini. Walaupun kami selalu lepak bersama-sama, Jengket jarang datang mencari makanan. Aku rasa mesti dia sudah mendapat makanan di rumah lain.

Selalunya, Mak Lang akan keluar dahulu sebelum Pak Lang. Dia akan masuk ke keretanya untuk pergi entah ke mana. Lewat petang baru mereka balik. Setiap hari memang begitu rutin mereka. Manakala, Pak Lang akan keluar kemudian dan membawa secawan makanan. Kami akan serbu dan menggesel kaki Pak Lang sambil dia berjalan ke sudut tempat kami lepak. Pak Lang memang selalu manjakan kami tetapi kadang-kadang si Cikedut kena marah juga sebab dia mengiau kuat sangat. Kesedapan bau makanan selalu membuatkan aku tidak sabar. Pak Lang mengisi mangkuk-mangkuk dengan makanan dan menambah air minuman kami. Disebabkan aku terlambat kali ini, jadi aku terpaksa berebut dengan Sibot dan Cikedut. Mangkuk pun ada dua sahaja. Walaupun aku lapar tetapi aku malas hendak menolak Cikedut yang mendengus marah apabila tiada ruang. Aku berjalan semula ke arah pintu. Ada juga bau makanan dari dalam lantas aku masuk, dengan harapan ada mangkuk lebih yang penuh dengan makanan. Aku biarkan hidungku yang menunjuk jalan. Berhenti sekejap-sekejap untuk menghidu kerusi dan dinding. Ini adalah kali pertama aku masuk ke rumah Pak Lang. Kagum aku dengan keluasannya dan pelbagai benda yang boleh aku cakar-cakar. Seronoknya kalau boleh lepak lama dalam rumah ini! Aku tidak pernah masuk sebab selalunya apabila pintu dibuka luas sementara Pak Lang hendak bagi kami makan, pasti Mak Lang menghalang kami dari masuk dengan suara dia yang tegas itu.

         Aku berjalan lagi ke dalam sambil melihat dan menghidu sehingga aku sampai di bawah meja. Bau makanan lebih kuat di sini tetapi masih aku tidak menjumpai sebarang mangkuk. Dengan perasaan kecewa, aku berjalan semula ke pintu tadi untuk keluar dan makan di ruang depan anjung. Mungkin Sibot dan Cikedut sudah selesai makan dan ada meninggalkan sedikit makanan untuk aku. Namun, sebaik sahaja aku sampai, aku lihat pintu sudah ditutup rapat dan tanpa kehadiran Pak Lang! Di situlah bermulanya pengembaraan aku.

Pak Lang dan Mak Lang ini bukannya tuan aku. Mereka cuma tuan rumah tempat kami menumpang untuk makan, minum dan lepak. Aku sangat suka melepak tidur atas kereta Mak Lang sewaktu sejuk pagi atau panas tengahari. Seperti yang aku ngiaukan tadi, kami semua kucing liar. Masing-masing ada kawasan sendiri untuk bermalam dan di situ juga kami memilih untuk bersalin. Oh ya! Kami ini semua kucing betina. Disebabkan ini juga, kucing-kucing jantan kerap datang ke rumah Pak Lang dan Mak Lang mencari kami. Sudahlah datang tidak bagi salam, mereka ini kadang-kadang menyibuk dengan makanan kami juga! Mereka juga kerap meninggalkan kesan yang busuk di beberapa sudut rumah Pak Lang dan Mak Lang. Mereka kata hendak menanda kawasan. Haih! Kucing jantan dan sifat obses mereka terhadap penguasaan lingkungan ‘jajahan’ masing-masing.

Aku sudah lupa bila pertama kali aku berjumpa dengan tuan rumah ini. Mula-mula aku berjumpa dengan Pak Lang dan dia meminta aku untuk memanggil dia dengan gelaran itu. Dia turut menamakan aku Sylvester sebab katanya warna bulu aku mirip watak kartun kucing yang kerap mengejar dan bergaduh dengan Tweety. Pak Lang menjelaskan kepada aku asal usul nama itu dengan bersungguh-sungguh seperti aku pernah menonton animasi tersebut. Aku garu sahaja perut aku. Aku tidak kisah dengan nama yang dia berikan tetapi terfikir juga sama ada dia tahu atau tidak yang aku ini kucing betina masa mula-mula jumpa dulu. Bukankah nama Sylvester itu untuk kucing jantan?

Kemudian, aku berjumpa dengan Mak Lang. Semasa kami berjumpa, aku ada di tepi buaian besi di depan anjung itu, sedang melayan kenyang dan mengantuk. Buaian warna merah jambu yang nampak usang. Entah bila Pak Lang hendak cat semula untuk bagi nampak lebih ceria. Mak Lang datang dan duduk di atas buaian. Dia berbual dengan aku tetapi aku diam sahaja sambil menguap tengok dia. Aku rasa apa yang dia katakan ialah dia tidak boleh sentuh atau usap aku. Dia ada alergi kepada bulu kucing. Kalau dia usap aku, dia akan mula gatal-gatal mata, mata akan bengkak dan saluran pernafasan akan rasa sesak. Inilah salah satu sebab kenapa dia tidak membenarkan kami memasuki rumah. Dia risau kalau bulu-bulu kami ini bertebaran dalam rumah, atas lantai dan atas permaidani. Kasihan bukan? Rugi betul dia tidak dapat mengusap kucing comel macam kami ini. Memang setiap kali apabila dia buka pintu awal pagi dan bagi salam pada kami yang sedang berkumpul, menggaru-garu serta mengeliat di depan itu, mesti dia akan bersin banyak kali.

Eh, bunyi bising tadi sudah berhenti! Bolehlah aku berjalan-jalan dalam rumah ini dan mencari jalan keluar dengan aman. Rasa dahaga pula. Aku hendak cuba naik ke atas. Kalau aku bernasib baik, ada mangkuk makanan atau mangkuk berisi air di sana. Harapnya aku dapat melepaskan dahaga dan kelaparan ini. Aku berjalan ke arah tangga untuk ke tingkat atas. Aku mendongak ke atas. Nampak tinggi sungguh. Nasib baik aku ini bukan kucing yang gayat macam kawan aku si Jengket. Aku agak si Jengket itu gayat sebab aku tidak pernah nampak dia memanjat kereta di dalam garaj atau pokok rendang yang senget di depan rumah Pak Lang ini. Sebenarnya, Jengket yang pendiam itu tiada satu kaki hadapan sejak dia lahir. Itu salah satu sebab dia tidak yakin hendak melompat dan mendarat dengan baik daripada tempat yang tinggi. Jadi, lebih baik dia tidak memanjat untuk mengelak kecederaan.

Sedang aku berjalan dan hendak melangkah anak tangga yang pertama sambil mengelamun pasal si Jengket, tiba-tiba aku ternampak sesuatu bergerak-gerak di arah tepi mata kananku. Hei, cicak! Besarnya engkau! Aku mengejar dan cuba menangkap cicak tersebut. Lincah juga cicak gemuk itu. Ia cuba melarikan diri ke bawah alat beroda yang sangat besar berwarna kelabu. Aku lebih cepat melompat dah menangkupnya dengan kaki-kaki depanku. Aku lantas merapatkan muka ke arahnya untuk cuba menghidu dan menggigitnya. Apabila hidungku sudah hampir ke cicak, aku terus menarik kepalaku ke belakang. Eww, busuknya bau! Aku menekan-nekan lagi badan cicak itu. Ia mengeliatkan badannya dan cuba menggigit aku tetapi aku tangkas melepaskan tekanan dari atas badannya.


Cicak itu cuba untuk melarikan diri lagi tetapi aku lagi pantas menekupnya semula. Ah, cuma dapat ekornya! Terliuk-liuk aku perhatikan ekor cicak itu tetapi badannya telah tiada! Ke mana pulak perginya tuan badan ekor ini? Aku menepis dan menangkap semula ekor yang terputus itu. Masih lagi ia terliuk-liuk bagaikan ada nyawa. Aku menepis lagi sambil melompat untuk mengelak terkena libasannya. Seronok pula bermain dengan ekor cicak ini. Malang sungguh tuan badannya berjaya melarikan diri. Setelah aku bosan bermain dengan ekor tersebut, aku kembali ke arah tangga untuk ke atas dan meneruskan misi aku. Boleh aku mencari cicak lagi di bahagian tingkat atas.

Aku melompat ke atas setiap anak tangga dan akhirnya aku sampai ke lantai paling atas. Pintu di sebelah kiri aku nampaknya tertutup rapat. Jadi, aku berjalan ke arah pintu di sebelah kanan yang sedang terbuka luas. Cerah sungguh suasana di bilik ini. Aku berjalan ke dalam, melihat dan menghidu semua benda yang ada. Masih tiada bau makanan. Aku berjalan semula sedikit ke depan dan dapat merasakan angin yang sejuk dari sebelah kananku. Aku menolak pintu dengan kepalaku dan melangkah masuk dengan perlahan. Yeay, ada air!

Aku menjilat air dengan laju dan terus menelan air yang berkumpul di dalam mulutku dengan sepuas-puasnya. Aku bersyukur lantai biru ini basah dengan air yang sejuk. Walaupun aku lapar, sekurang-kurangnya aku boleh menghilangkan dahaga aku. Setelah selesai aku minum, aku berjalan-jalan di dalam bilik biru yang kecil ini. Masih tiada makanan di setiap sudut lantas aku membuat keputusan untuk keluar semula.

Apabila aku berjalan keluar, aku berlegar di ruang paling dekat dengan tangga mencari mangkuk berisi makanan lagi. Aku melihat keadaan sekeliling dan ternampak tompok-tompok hitam di lantai. Alamak, bukti! Pasti tapak kaki aku kotor sebelum memasuki rumah Pak Lang tadi. Aku berpusing-pusing lagi di tempat yang sama dan cuba untuk menghilangkan kesan tapak kakiku. Namun, aku gagal. Agaknya nanti mesti Mak Lang akan memarahi aku kerana mengotori lantai rumahnya.



end of part 1.
okay so far?
do come back for part 2!
.
.
.
thank you for reading!

2 comments:

Yati said...

A very good first try 💪 keep up

syitah said...

thanks mak ! 😆